Friday, April 1, 2011

Pergerakan bayi semasa kehamilan...

Bilakah pertama kali saya merasakan pergerakan bayi saya?

Sensasi pergerakan lemah lembut bayi yang dirasai pada peringkat awal kehamilan merupakan satu saat yang amat penting bagi anda. Dan apabila pergerakan lemah ini berubah menjadi tendangan-tendangan kuat, anda akan pasti bahawa kehamilan anda berkembang dengan sempurna.

Jika anda sedang hamil buat kali pertama, anda mungkin tidak akan menyedari bila masanya bayi anda mula bergerak, sebab anda belum pernah mengalami sensasi pergerakan tersebut – sebenarnya, ramai wanita menyatakan bahawa pergerakan awal itu menyerupai denyutan yang lembut dan halus.

Bagi kehamilan pertama, anda mungkin mula menyedari pergerakan ini antara minggu ke-18 dan minggu ke-20. Bagi kehamilan seterusnya, di mana anda sudah dapat mengenali petanda tertentu, pergerakan ini akan disedari lebih awal lagi, iaitu antara minggu ke-15 dan minggu ke-18.

Apakah yang bayi buat di dalam itu?

Sebaik saja pergerakan awal dirasai, yang dikatakan seakan-akan kupu-kupu mengibaskan sayap, anda akan mula sedar bahawa sensasi tersebut menjadi lebih kuat dan berlaku dengan lebih kerap. Semasa bayi anda sedang membesar, sensasi ini akan berubah dari semasa ke semasa sehinggakan anda mengalami tendangan dan pukulan yang semakin hebat apabila kehamilan anda semakin maju dan matang.

Bayi anda tidak akan menendang dan bergerak sepanjang masa sebab, seperti kita juga, ada masa-masanya ia hanya mahu berehat dan tidur walaupun untuk 40 minit sahaja setiap kali. Tetapi, anda merasakan bahawa tempoh rehat bayi itu lebih panjang dari itu sebab anda tidak dapat merasa dan mengesan setiap pergerakan.

Untuk makluman anda, berikut diberikan sedikit panduan tentang apa yang akan berlaku kepada bayi anda semasa ia sedang membesar dalam kandungan.

Dari minggu ke-20 hingga ke-24

Aktiviti bayi anda akan bertambah perlahan-lahan dari minggu ke minggu. Pada minggu ke-20, dan selama 10 minggu berikutnya, bayi anda akan melalui perkembangan yang amat giat di mana ia akan banyak menendang dan berpusing-pusing.

Dari minggu ke-24 hingga ke-28

Bayi anda akan mula tersedu, dan inilah sebabnya anda kadang-kala mengalami pergerakan tersentak-sentak. Sak amnion (ketuban) anda pada masa ini mengandungi cecair sebanyak 750 ml (26 fl oz) yang membolehkan bayi bergerak secara bebas. Walaupun bayi telah lama dapat mendengar bunyi, baru sekarang anda mendapati bahawa bayi tersentak apabila mendengar bunyi-bunyian yang mengejutkan.

Pada minggu ke-29

Bayi anda akan mula membuat pergerakan jarak kecil yang lebih mantap, disebabkan ia sekarang dalam keadaan agak terhimpit dalam rahim anda.

Pada minggu ke-32

Pergerakan bayi anda berkemuncak pada masa ini, dan pada minggu-minggu berikut anda akan mendapati bahawa kekerapan serta jenis pergerakan semakin bertambah disebabkan bayi anda terus membesar dan menjadi lebih kuat.

Dalam lingkungan minggu ke-36

Pada masa ini, bayi anda akan menetapkan posisinya dengan meletakkan kepala ke bawah. Ini berlaku terutama sekali bagi kehamilan pertama sebab otot-otot abdomen dan rahim anda masih kuat dan dapat mengekalkan kedudukan tersebut. Pergerakan utama yang anda akan rasakan adalah pukulan tangan dan kaki bayi anda, dan bayi juga akan membuat tendangan kuat dan perit terhadap tulang rusuk anda.

Sekiranya kehamilan ini bukan yang pertama, otot abdomen anda tidak begitu kuat lagi dan oleh itu bayi anda akan sering mengubah posisinya sehingga tiba tarikh kelahiran yang dijangkakan.


Dari minggu ke-36 hingga ke-40

Badan bayi mula menjadi lebih besar dan pergerakan memusing akan berkurangan. Sekiranya bayi itu menghisap jarinya dan sekiranya terlucut jari itu, anda akan merasakan pergerakan yang pantas dan perit disebabkan pergerakan kepala bayi dari kiri ke kanan dalam usahanya mencari dan mendapatkan jarinya kembali.

Dalam tempoh dua minggu sebelum kelahiran bayi, pergerakannya semakin kurang dan kadar pembesaran bayi juga akan menurun sedikit. Ini semua adalah perkara biasa dan anda tidak perlu bimbang.

Pergerakan dan posisi di peringkat akhir kehamilan

Pada minggu-minggu terakhir, bayi anda akan menetap dalam mangkuk pelvis anda, dan bersiap sedia untuk dilahirkan. (Sekiranya ini tidak berlaku, nasihat lanjut boleh diperolehi dari kami tentang bagaimana meletakkan bayi anda dalam posisi optimum untuk kelahiran). Kepala bayi anda terasa seakan-akan sebiji tembikai yang menekan kepada lantai pelvis dan membuatkan anda agak berhati-hati semasa hendak duduk.

Apabila kepala bayi menurun lagi ke dalam pelvis anda, anda akan terasa "ringan", disebabkan tekanan yang dahulunya berlaku di bawah tulang rusuk anda tidak begitu kuat lagi.

Pada peringkat ini, anda tidak akan mengalami pergerakan yang dibuat oleh keseluruh badan bayi. Di sebaliknya, anda mungkin mengalami tendangan yang tidak berhenti-henti di bawah tulang rusuk samada di sebelah kiri atau kanan, yang dipengaruhi oleh posisi bayi tersebut. Jika kulit abdomen anda nipis, anda mungkin berpeluang memegang kaki bayi anda.

Ada masa-masanya bayi anda akan diam berehat dan ada masa-masanya anda akan mengalami aktiviti bayi yang berlebihan, lazimnya pada lewat petang atau malam atau semasa anda sedang baring dan hendak tidur!

Berapakah tendangan yang patut saya rasakan dalam satu hari?

Semasa anda sedang sibuk, anda mungkin kurang menyedari pergerakan bayi anda. Anda akan lebih menyedari pergerakan ini semasa anda sedang duduk berehat.

Kajian aktiviti fetus menunjukkan bahawa pergerakan bayi semasa dalam rahim menunjukkan pola berjaga dan tidur yang berlainan – tiada jumlah tendangan yang boleh dianggarkan secara purata – namun begitu, setelah sampai ke peringkat akhir dalam kehamilan, anda mungkin sudah mengetahui dan boleh menentukan pola pergerakan bayi anda.

Saya tidak terasa gerakan bayi saya hari ini; patutkan saya bimbang?

Jika anda sibuk melakukan sesuatu, anda mungkin tidak menyedari pergerakan bayi anda. Sekiranya anda mahukan ketenangan fikiran, ada beberapa cara untuk merangsang bayi supaya bergerak:

• Baring secara mengiring (dengan mengampu punggung) dan jangan bergerak.
• Angkat kaki ke atas dan relaks.
• Halakan bunyi musik ke perut anda.

Tidak lama dahulu, wanita dinasihatkan supaya mengesan pergerakan bayi dengan menggunakan carta tendangan fetus. Anda perlu merekod berapa kali pergerakan bayi berlaku sehingga anda mendapat jumlah 10 tendangan, seelok-eloknya pada masa yang sama setiap hari. Walau bagaimanapun, carta seperti ini telah menjadi kurang popular disebabkan penyimpanan rekod sedemikian mudah dilupai, dan juga didapati sukar untuk memadan dan mengimbangkan pola tendangan tersebut. Ini telah menyebabkan kebimbangan di kalangan wanita berkenaan yang tidak sepatutnya berlaku.

Sebaliknya, fahamilah pola gerakan bayi anda dalam waktu anda berjaga dan sekiranya terdapat sebarang perubahan dalam pola tersebut, hubungilah doktor anda dengan segera.

3 comments:

  1. wah..bestnye leh rase bby gerak...

    ReplyDelete
  2. Moga Aliya n baby sihat...
    Tak sabar nk tgk baby chomey mcm mama nye..=)

    http://blogqasehkita.blogspot.com

    ReplyDelete
  3. Cik Ilah doakan Alia dan baby sihat sejahtera ya :-)

    ReplyDelete